Perasaan
akhlaq adalah perasaan semulajadi yang mana Allah menciptakan manusia bersama
dengannya. Kerana itu manusia terdorong untuk menggemari setengah-setengah
sifat kemanusiaan dan membenci setengah-setengah sifat yang lain. Perasaan ini,
meskipun berbeza-beza dan berlebih kurang kadarnya di antara berbagai-bagai
individu manusia, namun perasaan bersama (common sense) - tanpa memandang
kepada individu secara perseorangan masih terus menghukum setengah-setengah
sifat tingkah laku sebagai sifat-sifat yang baik, dan setengah-setengah sifat
yang
lain pula sebagai sifat-sifat yang buruk.
Kebenaran, amanah,
keadilan dan kesetiaan dengan janji umpamanya, adalah sifat-sifat yang
digolongkan oleh manusia ke dalam sifat-sifat tingkah laku yang layak dipuji
dan disanjung dalam setiap peringkat zaman. Tetapi tidak pernah datang kepada
manusia satu waktu di mana dia memandang baik kepada pembohongan, kezaliman,
penipuan dan pengkhianatan. Begitu juga tentang tolong-menolong, berkasih
sayang, bermurah hati, berlapang dada dan bertolak ansur, semuanya diberi
penghargaan serta dijunjung tinggi oleh manusia di segenap waktu dan zaman.
Sebaliknya sifat-sifat keakuan, degil, kikir dan berpandangan sempit itu tidak
pemah dianggap oleh manusia sebagai sifat-sifat yang patut diberi penghormatan
dan penghargaan. Manusia juga masih terus memulia dan memandang tinggi kepada sifat-sifat
sabar, cermat, tabah, lemah lembut, keberanian dan ketinggian cita-cita. Tetapi
dia menghina dan memandang rendah kepada sifat-sifat gopoh, terburu-buru, tidak
tetap pendirian, dayus dan lemah cita-cita. Manusia masih lagi menganggap
sifat-sifat menahan diri, menjaga maruah, berkelakuan baik dan suka bermesra
dengan orang lain itu di antara perangai-perangai yang indah. Tetapi
sifat-sifat suka mengikut kehendak nafsu, tidak pemalu, kurang sopan dan
berkelakuan tidak senonoh itu, tidak mempunyai tempatnya di dalam lingkungan
perangai-perangai yang dimuliakan oleh manusia. Seterusnya manusia masih lagi
memuliakan sifat-sifat menjalankan tugas dengan sempurna, menunai janji, cergas
dalam bekerja dan menyedari tanggungjawab.
Tetapi dia tidak
bersimpati kepada orang-orang yang meringankan tugas, tidak menunai janji,
pemalas dan tidak serius bekerja dan tidak mempedulikan tanggungjawab yang
terletak di atasnya.
Semua
itu adalah merupakan sifat-sifat peribadi dan perseorangan sahaja. Ada pun
hal-hal kemasyarakatan, baik dan buruknya, juga sifat-sifat masyarakat yang
terpuji dan terkeji, maka segala-galanya dipandang oleh manusia dengan
pandangan yang sama dan ditimbangkan dengan neraca yang satu. Tidak pernah
diketahui masyarakat manusia yang patut disanjung dan dihormati, kecuali
masyarakat yang mempunyai pentadbiran yang baik dan sistem yang sempurna;
masyarakat yang diratai oleh gotong-royong, saling memikul tanggungjawab, kasih
mengasihi, nasihat menasihati, keadilan sosial dan persamaan di antara sekelian
manusia. Sebaliknya manusia tidak memandang dengan kagum dan hormat kepada
masyarakat yang diselubungi oleh gejala-gejala perpecahan, kacau bilau dan
porak peranda; masyarakat yang dikelilingi di segenap penjurunya oleh dendam
kesumat, hasad dengki, kezaliman, perbalahan dan persaingan di antara sesama
para individunya.
Begitulah
juga halnya dengan perangai-perangai serta tabiat-tabiat manusia, baiknya dan
buruknya, masih tetap seperti zaman-zaman yang telah lalu. Perbuatan-perbuatan
mencuri, berzina, membunuh, menipu, menerima rasuah, mencarut, mencerca,
megumpat, mendengki, membuat tuduhan-tuduhan palsu dan melakukan
perkara-perkara yang merosakkan di bumi ini, tidak pernah dipandang orang
dengan pandangan yang memuja dan memuji. Tetapi membuat baik kepada ibu bapa,
berbakti kepada adik beradik, menghormati jiran tetangga, membantu kawan rakan
dalam perkara-perkara baik, memberi perhatian kepada anak-anak yatim serta
fakir miskin, menziarahi orang sakit, menolong orang malang dan susah, semua
itu dipuji dan disanjungi oleh manusia sepanjangpanjang masa. Begitu juga orang
tidak pernah menghormati dan memuliakan pengkhianatan, sikap bermuka-muka,
berpura-pura, terlalu meminta-minta dan sikap gelojoh. Tetapi mereka
menghormati dan memandang tinggi kepada sopan santun, cakap yang manis, gerak
geri yang lemah lembut, suka memberi nasihat dan punya amanah.
Pendeknya,
manusia tidak memandang baik dan tidak menghormati kecuali orang-orang yang
bercakap benar, yang boleh diharap dan dipercayai dalam segala hal. Orang-orang
yang serupa sahaja lahirnya dengan batinnya, yang sama sahaja
perbuatan-perbuatannya dengan kata-katanya, orang-orang yang memadai dengan hak
serta habuannya, orang-orang yang berlumba menunaikan hak-hak dan
tanggungjawab- tanggungjawab mereka kepada orang lain, orang-orang yang hidup
dengan penghidupan yang aman damai, yang tidak mengganggu orang lain,
orang-orang yang tidak diharapkan daripada mereka selain daripada kebaikan dua
kebijaksanaan.
Dari
yang demikian itu, ternyatalah bahawa prinsip-prinsip akhlaq itu adalah
merupakan hakikat-hakikat yang tetap dan bercorak internasional, yang mana
masih dikenali oleh manusia. Kebaikan dan kejahatan tidaklah tersembunyi
sehingga seseorang perlu mencarinya bila mana dia mahu mengetahui serta menelitinya.
Tetapi kedua-duanya adalah di antara perkara-perkara yang telah diketahui oleh
Bani Adam sejak pertama kali lagi. Allah telah menganugerahkannya rasa dengan
kedua-duanya dan telah perbekalkannya dengan tabiat semulajadi atas perasaan
tersebut. Oleh itu kita lihat Al-Quran menamakan kebaikan itu dengan
'al-ma'ruf’ (yang termaklum) dan menamakan kejahatan dengan 'al-mungkar' (yang
dibantahi). Apa yang dimaksudkan oleh Al-Qur'an ialah, bahawa al-ma'ruf itu
ialah yang diketahui oleh manusia dan yang digemari serta disukainya, dan
bahawa al-mungkar itu ialah yang dibantahi, dicemuh dan dipandang jijik oleh
manusia.
Di
dalam pengertian beginilah Al-Quran mengatakan;
فَأَلْهَمَهَا
فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
Maksudnya: "Maka diilhamkan akan
(diri) yang jahatnya dan yang taqwanya". (Surah As Syams, ayat 8)
Barangkali
para pembaca tertanya-tanya dalam hal ini: Jika kebaikan dan kejahatan tingkah
laku itu sudah termaklum dan diketahui orang, dan jika para penghuni dunia ini
sudah bersatu pendapat tentang kebaikan setengah-setengah sifat dan keburukan
setengah-setengahnya yang lain, maka apakah gunanya berbagai-bagai sistem
akhlaq itu diwujudkan di dunia ini? Apakah bukti yang menjadi sandaran kita
bila kita katakan, bahawa Islam mempunyai satu sistem akhlaq yang tersendiri?
Kemudian, apakah perwatakan- perwatakan dan keistimewaan-keistimewaan yang
membezakan sistem akhlaq Islam daripada sistem-sistem akhlaq lain yang telah
dan masih mendapat keutamaan serta sanjungan di dalam sejarah perkembangan
akhlaq?
Jika
kita bentangkan berbagai-bagai sistem akhlaq di dunia dengan tujuan untuk
mengkaji masalah ini, akan ternyatalah kepada kita sejak mula-mula lagi, bahawa
sistem-sistem itu berbeza di antara satu sama lain dalam soal memasukkan
bermacam-macam sifat tingkah laku ke dalam sistem masing-masing. Perbezaan
terdapat juga di antara sistem-sistem itu dalam soal menentukan batas dan
tempat penggunaan sifat-sifat tingkah laku itu serta cara mempersesuaikan di
antara sesamanya. Kemudian jika kita memandang dengan dalam dan teliti kepada
sistem-sistem itu, akan ketaralah bagi kita sebab perbezaan ini, iaitu, bahawa
sistem-sistem tersebut berselisih antara satu sama lain dalam menetapkan norma
kebaikan dan kejahatan pada tingkah laku manusia, juga dalam menentukan saluran
pengetahuan yang dapat diperbezakan dengannya di antara baik dan jahat.
Sistem-sistem itu tidak juga mencapai persetujuan dalam menentukan kekuatan
penggerak (sanction) yang bekerja di belakang undang-undang itu sehingga ianya
punya kuasa di dalam diri orang. Lebih jauh lagi sistem-sistem itu tidak
sepakat dalam menentukan perasaan yang membawa orang mematuhi dan mengawasi
undang-undang. Kemudian jika kita berfikir mencari sebab-sebab perselisihan
ini, akan lahirlah kepada kita hakikat yang jelas, bahawa yang menceraikan
segala jalan sistem-sistem akhlaq ini seluruhnya dan yang menjauhkan antara
setengahnya dengan setengah, ialah kerana sistemsistem ini berselisih dalam
menggambarkan tentang apakah dia alam buana ini, di manakah posisi akhlaq di
dalam undang-undang alam yang luas ini, dan apakah matlamat hidup manusia di
dalam alam.
Perselisihan
inilah yang mempengaruhi sistem-sistem tersebut, dan daripadanyalah timbul
perselisihan- perselisihan yang pokok sehingga tentang haqikat, tabiat dan
kedudukan sistem-sistem itu. Bahawa persoalan-persoalan yang diatasnya tegak
asas penghidupan manusia dan persoalan-persoalan yang menentukan aliran-aliran
manusia di dalam penghidupan dunia ini ialah: Adakah di sana Tuhan untuk alam
ini atau tidak? Jika ada, maka adakah Dia Tuhan yang satu (Esa) atau ada
bersama-samanya tuhan-tuhan lain? Dan mana satu di antara tuhan-tuhan itu yang
kita percaya? Apakah sifat-sifat yang ada padanya? Bagaimana hubungan kita
dengannya? Apakah dia sudi membimbing kita ke arah kebenaran dan memberi
hidayat kepada kita atau tidak? Apakah kita bertanggungjawab di hadapannya?
Apakah yang diperhitungkan kepada kita untuknya? Kemudian apakah matlamat hidup
kita dan kesudahannya yang harus kita letakkan di hadapan mata dan yang harus
kita bekerja mengikut kehendak-kehendaknya dalam penghidupan di dunia ini?
Ini
semuanya merupakan persoalan-persoalan pokok dan penting, yang mana di atas
jawapannyalah terhentinya kelahiran sistem hidup manusia. Oleh itu sistem
akhlaq tidak lahir melainkan mengikut apa yang sesuai dengan haqikat jawapan
ini. Di dalam ceramah yang singkat ini tidaklah dapat saya bercakap panjang
lebar tentang berbagai-bagai sistem hidup yang ada di dunia ini dan
menceritakan kepada anda apa yang telah dipilih oleh tiap-tiap sistem itu untuk
memberi jawapan terhadap persoalan yang pokok ini, juga apakah kesan-kesan dan
gejalagejala yang dilahirkan oleh jawapan-jawapan itu terhadap bentuk persoalan
ini dan penentuan jalannya. Saya hanya bermaksud hendak bercakap tentang Islam
sahaja di antara sistem-sistem itu dan akan memberikan jawapan-jawapan yang
saya pilih untuk persoalan-persoalan tadi di samping menjelaskan sistem akhlaq
yang khusus iaitu sistem akhlaq yang tegak di atas asas jawapan-jawapan ini
serta menunaikan kehendak-kehendaknya.
Buat
menjawab kepada persoalan-persoalan ini, Islam mengatakan: Bahawa untuk alam
ini ada satu Tuhan, dan tidak ada Tuhan selain Allah. Dialah yang menciptakan
mayapada ini dan mengadakan segala sesuatu di dalamnya. Dia sahaja yang
bertindak dalam hal-hal alam ini, tidak disertai oleh sesiapa pun. Dia punya
perintah dan larangannya. Dialah Tuhan segala langit dan bumi dan Tuhan apa
yang ada di dalam langit dan bumi itu. Sistem alam yang kita lihat berjalan
dengan teratur dan tetapnya ini tidak berjalan melainkan kerana tunduk kepada
perintah dan kehendakNya. Dia adalah Tuhan Yang Bijaksana, yang Maha Berkuasa,
mengetahui yang ghaib dan yang ternyata, tidak terlindung daripadaNya sebesar
zarah pun baik di langit mahu pun di bumi. Dia adalah 'al-malik' (raja) yang
quddus, perintahNya berlaku di dalam alam ini dengan kadar yang tertentu. Tidak
pernah Dia penat dan lemah. Manusia adalah hamba kepada Allah mengikut kejadian
serta tabiat semulajadinya, Tugas manusia di dunia ialah menyembah Allah dan
mematuhi segala titah perintahNya. Hidupnya tidak bererti jika tidak diserahkan
sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah dengan ikhlasnya. Bukanlah tugas
manusia menentukan sendiri satu methode tertentu bagi ibadatnya, tetapi ianya
ditentukan oleh Allah yang menciptanya dan yang menjadikannya sebagai salah
seorang dari hamba-hambanya. Allah Subhanahu Wata'ala telah mengutuskan
untuknya para Rasul dan diturunkan pula bersama-sama mereka kitab-kitab untuk
memberi hidayat serta membimbing mereka ke jalan kebaikan dan kebahagiaan.
Oleh
yang demikian, manusia tidak harus mengambil sistem hidupnya kecuali daripada
pelita yang terang benderang ini. Selain dari itu, manusia adalah
bertanggungjawab di hadapan Tuhannya terhadap apa yang telah diusaha dan
diperolehinya di dalam penghidupan dunia dan dia akan diadili di hadapan Allah,
bukan di dunia ini, tetapi di akhirat kelak. Penghidupan di dunia ini hanyalah
merupakan dugaan Tuhan terhadapnya. Manusia tidak harus meletakkan di hadapan
matanya satu matlamat yang dicari dan yang dicitakannya di dalam hidup ini
melainkan supaya dia tergolong di dalam golongan orang-orang yang berjaya di
sisi Tuhannya di dalam alam akhirat nanti. Manusia menempuh dugaan ini dengan
segala tenaga yang ada padanya; kerana ini adalah dugaan terhadap segala daya
dan bakatnya serta ujian segala segi penghidupannya. Dia akan diujikan dalam
segala apa yang diusaha dan dikerjakannya di dalam penghidupan dunia ini dengan
ujian yang bersih; tidak dinodai barang sedikit pun oleh kekotoran dunia ini.
Lebih
jauh lagi, ujian ini dijalankan sendiri oleh Tuhan yang mengetahui
segala-segalanya; Tuhan yang tidak terhenti ilmu dan ma'rifatnya - waktu mana
Dia merakamkan segala kerja dan gerak-geri manusia pada juzu'- juzu' alam ini
yang terdiri daripada tanah, air, angin, ruangan-ruangan angkasa, di dalam hati
manusia, fikirannya, tangan dan kakinya. Malah ilmu pengetahuannya meliputi
segala bisikan dan kemahuan yang terlintas di jiwa manusia, tidak ada sesuatu
pun yang terlindung daripadanya.
Inilah
dia jawapan Islam tentang persoalan-persoalan hidup yang asasi, dan inilah
Islami terhadap alam serta posisi manusia di dalamnya. Dia menentukan satu
tujuan hakiki lagi luhur yang harus menjadi matlamat utama dari segala usaha
dan kerja manusia di dalam penghidupan dunia ini, iaitu 'menuntut wajah Tuhan
dan mencari keredhanNya'. Beginilah criterion (ukuran) yang diukurkan dengannya
setiap kerja manusia di dalam sistem akhlaq Islam dan dihukum sama ada baik
atau jahat. Selain dari itu, penentuan matlamat hidup ini membekalkan akhlaq
manusia dengan satu pusat di mana seluruh penghidupan manusia berkisar di
sekitarnya. Penghidupan itu tidak lagi akan menjadi seperti kapal di
tengah-tengah lautan yang dipukul badai serta diumbang-ambingkan oleh gelombang
ke kanan dan ke kiri. Penentuan ini juga meletakkan di hadapan manusia satu
tujuan hakiki yang membolehkannya selepas itu menentukan batas-batas,
kedudukan-kedudukan serta gambaran-gambaran praktikal yang padan untuk
tiap-tiap satu dari segala sifat tingkah laku di dalam penghidupan ini. Oleh
kerana ini juga manusia boleh mencapai nilai-nilai akhlaq (ethical values) yang
tersendiri, yang sampai sekarang masih berdiri dengan teguh di tempatnya, tanpa
berkesan dengan perubahan-perubahan suasana dan keadaan. Lebih jauh dari itu -
bila mana menuntut wajah Tuhan dan mencari keredhaanNya itu - menentukan satu
matlamat yang dicari oleh manusia dan satu tujuan bagi segala usaha dan
kerjanya, akhlaq manusia pun mendapat satu tujuan yang tinggi yang
membolehkannya mendaki ketinggian tingkah-laku setinggi-tingginya, tidak
dinodai buat selama-lamanya oleh daki-daki perhambaan diri kepada segala tujuan
dan kehendak nafsu dalam segala peringkat perjalanannya.
Seperti
mana Islam memberi ni'mat kepada kita - kerana penggambarannya terhadap alam dan
manusia dengan kriteria ini - dia juga membekalkan kita dalam waktu yang sama
dengan satu saluran yang abadi untuk mengetahui baik buruknya tingkah laku.
Islam tidak sahaja membataskan pengetahuan kita dengan akhlaq itu dalam
lingkungan akal, kemahuan, percubaan atau ilmu-ilmu kita terhadap akhlaq boleh
berubah dengan berubahnya saluran-saluran yang empat ini dan tidak tetap buat
selama-lamanya. Tetapi Islam mengurniakan kepada kita satu rujukan (reference)
tetap yang membekalkan kita dengan ajaran-ajaran pribudi dalam segala keadaan
dan zaman. Rujukan itu ialah kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya
Sallallahu 'alaihi Wasallam.
Ajaran-ajaran
ini membimbing kita kepada jalan yang lurus dan menyuluh langkah kita yang
betul dalam segala soal hidup, dari masalah-masalah rumahtangga yang
sekecil-kecilnya membawa kepada masalah-masalah serta problem-problem politik
internasional yang besar-besar. Kita dapati di dalam ajaran-ajaran ini ruangan
yang luas, cukup untuk menjadi prinsip-prinsip akhlaq dalam segala soal hidup.
Kita tidak berkehendakkan lagi selepasnya kepada satu saluran pengetahuan yang
lain dalam segenap peringkat penghidupan. Kemudian di dalam penggambaran Islam
terhadap alam dan manusia ini, kita dapati ada kekuatan pengontrol yang harus menjadi
sandaran kepada undang-undang akhlaq. Kekuatan itu ialah takut kepada Tuhan
menyedari tanggungjawab di hari akhirat serta takutkan akibat buruk di masa
depan yang abadi. Tidak syak lagi, bahawa Islam mahu menyediakan susunan
masyarakat dan fikiran orang ramai (public opinion) yang boleh membawa dan
memaksa orang dari segenap peringkat supaya mengikut serta terus menjaga
prinsipprinsip akhlaq. Begitu juga Islam mahu mendirikan satu sistem politik
yang mana melalui kuasanya. dapat dilaksanakan undang-undang akhlaq ini di
kalangan orang ramai dengan paksa, walaupun pada hakikatnya Islam tidak
bergantung kepada kuasa pengontrol yang luar ini seperti pergantungannya kepada
pengontrol dari dalam jiwa yang dipenuhi dengan keimanan dengan Allah dan hari
kemudian. Dari sana Islam hendak - sebelum dia memerintahkan manusia supaya
mengikat diri masing-masing dengan hukum-hukum akhlaq - menakutkan manusia dan
mengajarnya:
"Bahawa
hal dirimu adalah terdedah kepada Allah yang Maha Melihat, yang Maha
Mengetahui, yang tidak terlindung daripadaNya sebesar zarah pun, baik di bumi
mahu pun di langit. Dia melihat mu di mana sahaja kau berada dan sebagaimana
sekali pun keadaanmu. Engkau boleh bersembunyi daripada penglihatan orang,
tetapi engkau tidak dapat menyembunyikan diri daripadanya. Engkau boleh ditipu
seluruh manusia, tetapi tidak boleh menipuNya. Engkau boleh melemahkan setiap
orang di bumi ini, tetapi engkau tidak terdaya melemahkan Tuhan yang
menciptakan langit dan bumi. dunia memandang kepada segala perbuatan dan
perangaimu yang ternyata kepada mereka, tetapi Tuhan mengetahui yang ghaib dan
yang nyata. Dia tahu segala rahsia jiwa dan bisikan hati. Walau apa pun kerja
yang engkau lakukan di dalam hidup yang fana ini, engkau tidak dapat
mengelakkan diri dari menghirup bijana kematian dan kembali kepada pengadilan
yang tidak akan berguna padanya segala pembelaan peguam, rasuah, saksi bohong,
songlap dan tipu helah. Hari ini Tuhan mu akan menimbang segala pekerjaanmu
dengan adil dan memberi ganjaran yang padan kepada hamba-hambaNya".
Islam
menetapkan keimanan ini - keimanan dengan Allah dan hari kemudian – di dalam
hati manusia, seolah-olah dengan itu dia meletakkan di dalam perasaannya
seorang pengawas dari mata-mata akhlaq yang menggesanya bekerja dan yang
menyuruh dia mematuhi segala titah perintah Allah, tidak kira sama ada terdapat
mata-mata, mahkamah dan penjara di luar yang memaksanya berubat demikian atau
tidak. Pengawas dalam dan pengontrol jiwa inilah pada hakikatnya yang menolong
undang-undang akhlaq Islam dan yang menjadikannya terlaksana di kalangan orang
ramai, sungguhpun di samping itu sokongan daripada pihak pemerintah dan fikiran
umum menyenangkan lagi perlaksanaan undang-undang ini. Hal ini tentunya lebih
wajar dan lebih bijaksana. Tetapi pada hakikatnya, keimanan ini sahaja pun
sudah memadai untuk menjamin hidayat dan umat Muslimin kepada jalan yang betul
jika kemanisan keimanan itu telah meresapi hati mereka dan jika aqidah ini
sudah melekat dengan sebatinya di dalam jiwa mereka.
Lebih
jauh lagi, penggambaran Islam terhadap alam dan manusia ini, menyediakan
faktor-faktor yang menggalak dan memberansangkan seseorang supaya bekerja
mengikut apa yang dikehendaki oleh undang-undang akhlaq. Cukup untuk mendorong
seseorang untuk mematuhi kehendak-kehendak Allah dan menjunjung titah
perintahNya, bahawa dia menerima Allah sebagai Tuhannya, bakti kepada Allah
sebagai cara hidupnya dan keredaan Allah sebagai matlamat hidupnya. Faktor lain
yang kuat juga di samping faktor ini ialah keimanan dengan hari kemudian serta
kepercayaan bahawa orang yang mematuhi Allah dan menurut segala titah
perintahNya akan mendapat kebahagiaan di alam akhirat yang kekal
selama-lamanya. Dia akan mendapat kehidupan yang baik, masa depan yang gemilang
dan keni'matan yang abadi, sekali pun di dalam dunia yang fana ini dia
menanggung bermacam-macam kesakitan, kepedihan, penderitaan dan kesengsaraan.
Sedang orang yang menghabiskan usianya di dalam dunia ini dengan mendurhakai
Allah dan membelakangkan segala perintahNya, nasibnya di akhirat pasti akan
menemui ganjaran yang keras serta siksa yang tidak akan habis-habis, sekalipun
di dunia dia mengecap (beranika kenikmatan dan kemewahan dari keenakan hidup).
Harapan dan ketakutan ini, jika terhimpun pada seorang manusia dan tertanam di
dalam lubuk hatinya, seolah-olahnya satu faktor yang kuat tumbuh di dasar
nuraninya yang menggalakkannya membuat kebaikan serta berpegang dengan
kebenaran dalam waktu-waktu dan keadaan-keadaan yang barangkali ternyata
kepadanya bahawa berpegang dengan kebenaran boleh memberi kerugian tertentu
terhadap kepentingannya di dalam hidup ini. Begitu juga faktor kejiwaan ini
boleh menjaganya daripada kecenderungan-kecenderungan jahat dan juga menjauhkan
-nya daripada perkara-perkara curang dan jahat dalam keadaan- keadaan yang
ternyata kepadanya bahawa kejahatan merupakan kelazatan untuk nafsu dan
keuntungan di dalam penghidupan dunia ini.Apa yang jelas dari huraian ini
ialah, bahawa Islam mempunyai penggambaraan yang tersendiri terhadap alam ini
seperti mana ianya juga mempunyai criterion tersendiri terhadap kejahatan dan
kebaikan. Islam juga mempunyai rujukan bagi ilmu akhlak berserta satu kekuatan
penggerak dan faktor pendorong kerja yang khusus. Di dalam masalah ini, Islam
memilih satu jalan yang lain daripada jalan-jalan yang dipilih oleh segala
sistem akhlaq di dunia ini. Dengan pertolongan faktor-faktor ini sendiri,
lahirlah bahan-bahan budi pekerti yang terma'lum itu mengikut kadar-kadar yang
tertentu dan dilaksanakan di dalam segenap bahagian dan lapangan hidup.
Lantaran
itu, berhaklah kita mengatakan, bahawa Islam mempunyai satu sistem akhlaq yang
sempurna dan sesuai buat selama-lamanya dengan tabiat dan ajaran-ajarannya.
Sistem
akhlaq Islam ini mempunyai perwatakan-perwatakan dan
keistimewaankeistimewaannya yang tidak boleh diketepikan pada tempat ini. Apa
yang akan saya sebutkan sekarang hanyalah tiga perwatakan yang jelas sahaja,
iaitu perwatakan-perwatakan yang merupakan teras dan intinya, malah
perwatakanperwatakan ini sebenarnya, adalah di antara perkara-perkara
yang utama (priorities) dalam masalah sistem akhlaq:
Pertama:
Bahawa Islam menjadikan 'menuntut wajah Tuhan dan mencari keredhaanNya' itu
sebagai matlamat yang dicarikan di dalam penghidupan manusia, dan dengan itu
dia mengadakan satu criterion akhlaq yang tinggi. Tidak ada sesuatu yang dapat
menyekatnya daripada mempertinggikan akhlaq.
Oleh
yang demikian, dia telah memberikan ketetapan serta keutuhan kepada akhlaq
manusia yang mana membolehkannya maju dan berkembang, dan tidak akan mungkin
lagi bertukar rupa dan berubah warnanya dari satu ketika kepada ketika yang
lain. Begitu juga ketakutan kepada Allah menyediakan untuk akhlaq satu kekuatan
penggerak yang menggalakkan orang mengawasi serta memerhatikan segala kehendak-
kehendaknya tanpa dimasuk campur oleh mana-mana faktor luar. Ini juga
menimbulkan di dalam perasaan manusia dan membentuk - kerana keimanannya dengan
Allah dan hari kemudian – satu kekuatan yang menakutkan seseorang dan yang
menggalakkannya beramai dengan sendirinya mengikut undang-undang akhlaq.
Kedua:
Bahawa dengan galakan dan dorongan mutlak ini, Islam tidaklah mengada dan
merekakan akhlaq dan tatasusila baharu yang tidak pernah dibiasakan oleh
manusia sebelumnya, tidak juga Islam menurunkan setengah-setengah akhlaq
manusia yang sudah dikenali orang dan mengangkat setengah-setengah yang lain.
Dia tidak memakai akhlaq melainkan apa yang sudah terma'lum di sisi sekelian
manusia. Akhlaq yang sudah termaklum itu tidak disingkirkan, baik kecil atau
besarnya, tetapi diambil dan didapatkannya, kemudian diletakkan tiap-tiap
satunya ditempatnya yang sebenar di dalam penghidupan manusia. Perlaksanaannya
diperluaskan secara leluasa ke atas manusia, sehingga tidak ada lagi
cabang-cabang dan segi-segi hidup yang masih tersisa - seperti kerja-kerja
perseorangan, urusan-urusan rumahtangga, Pergaulan-pergaulan sosial, hal-hal
politik dan ekonomi, jual beli di pasar, urusan-urusan di sekolah, di mahkamah,
di balai polis, di kem-kem tentera, di medan perang, di persidangan damai dan
urusan-urusan lain seterusnya dari segi-segi penghidupan manusia yang lain -
tidak ada lagi yang masih tersisa melainkan kita lihat kesan-kesan akhlaq yang
sepenuhnya tertanam di dasar segi-segi tersebut. Islam menjadikan akhlaq
menguasai dan mengawasi dalam segala segi penghidupan. Apa yang dikehendaki
oleh Islam dengan yang demikian itu ialah merebutkan teraju urusan-urusan hidup
dari kehendak nafsu syahwat, dari tujuan-tujuan serta kepentingan- kepentingan
diri sendiri dan meletakkannya di tangan akhlaq yang bersih dan tingkah laku
yang baik.
Ketiga:
Keistimewaan yang ketiga bagi sistem akhlaq Islam ialah, bahawa dia meminta dan
menuntut manusia agar mendirikan satu sistem hidup yang mana tiang-tiangnya
tegak di atas kerja-kerja yang baik, tidak dikotori oleh sebarang kemungkaran.
Dia menyeru manusia seluruhnya supaya melakukan kerja-kerja kebajikan dan
menyibarkan usaha-usaha baik yang dipandang oleh manusia setiap zaman dan
tempat dengan pandangan memuji dan memuja. Sebaliknya hendaklah menolak dan
menghapuskan segala kemungkaran yang sentiasa dipandang oleh manusia dengan
pandangan keji dan menghina. Orang yang menyahuti akhlaq ini dan mengalu-alukan
seruannya, mereka digolongkan oleh Islam ke dalam golongannya, dan dari
merekalah dijadikan umat Islam. Tidak ada tujuan Islam yang lain dengan
menjadikan mereka itu sebagai satu umat, melainkan ialah kerana mahu
mengembelingkan segala usaha dan kerja sosial mereka ke arah mendirikan
kebajikan serta mengukuh dan menyebarkannya, juga membendung dan menghapuskan
kemungkaran, membungkaskan akar umbinya. Jika sekiranya umat ini kembali
mengerjakan kemungkaran dan melakukan kejahatan, jika dia mula menurut
perjalanan orang-orang yang menentang kerja-kerja kebajikan dan berusaha
memadamkan sinarnya, tidak tahulah apa yang akan terjadi ke atas dunia dan umat
ini. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah sahaja.
0 komentar:
Posting Komentar